Jumat, 29 Mei 2009

Sholat Khauf

Solat khauf (atau solat ketakutan) ialah solat yang ditunaikan dalam keadaan suasana peperangan dengan pihak musuh. Solat khauf adalah kemudahan yang tidak terdapat dan tidak boleh dilaksanakan di dalam sembahyang–sembahyang yang lain.

Ulamak–ulamak fiqah juga telah bersepakat tentang adanya ketetapan syarak mengenai solat khauf ini, "bahkan yang dimaksudkan dengan khauf oleh mereka bukan semata –mata takut kepada serangan musuh malah termasuk juga khauf (takut)dari ancaman kebakaran dan juga binatang–binatang buas dan lain–lain lagi daripada ancaman yang boleh menyebabkan kemusnahan dan kehancuran."

Cara–cara menunaikan solat khauf dapat simpulkan kepada dua keadaan:

Sebelum tercetus peperangan (situasi berjaga-jaga)

Terdapat dua cara yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.w.t mengikut keadaan kedudukan arah musuh:

1) Musuh berada di arah qiblat

Syarat solat khauf dalam keadaan sebegini ialah:

a) Bilangan tentara Islam itu lebih banyak
b) Tidak dikhuatiri tentera musuh mampu membuat serangan hendap ketika sembahyang berlangsung
c) Bilangan tentera islam itu dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian (iaitu lebih daripada 6 orang)

Cara solat khauf dalam situasi sebegini adalah seperti berikut:

Imam perlu membahagikan batalion tentera kepada dua kumpulan, dan setiap kumpulan sekurang-kurangnya tiga orang. Seterusnya dua kumpulan akan membuat saf di belakang imam; setiap kumpulan boleh terdiri daripada beberapa saf, mengikut jumlah yang munasabah di mata imam. Imam akan bersembahyang bersama dengan kedua-dua kumpulan sehingga kepada rukuk di rakaat yang pertama, kemudian hanya kumpulan pertama sahaja yang akan turut rukuk bersama imam, manakala kumpulan yang kedua pula terus berdiri(dalam keadaan iktidal) untuk menjaga pertahanan, kalau-kalau ada gerakan baru atau serangan dari pihak musuh.

Setelah imam dan bahagian pertama bangkit untuk rakaat yang kedua, bahagian kedua pula akan turun menyempurnakan rakaat pertama secara bersendirian hinggalah mereka mendapatkan imam semula pada rakaat yang kedua. Pada rakaat ini, imam akan rukuk diikuti dengan kumpulan yang kedua sahaja akan turut bersama–sama dengan imam, manakala kumpulan yang pertama tadi akan tetap berdiri (iktidal) sehinggalah imam dan kumpulan yang kedua sampai ke tahiyyat akhir, barulah mereka akan menyempurnakan rakaat yang kedua secara bersendirian dan mendapatkan imam di tahiyyat akhir (yang mana imam hendaklah menunggu kumpulan pertama dengan memanjang doa)kemudian imam akan memberi salam bersama-sama dengan kedua-dua kumpulan tersebut.

2) Musuh tidak di arah qiblat

Cara solat khauf dalam situasi ini pula adalah seperti berikut:

Imam akan membahagikan tentera kepada dua kumpulan; kumpulan yang pertama akan bersembahyang bersamanya manakala kumpulan yang kedua akan kekal mengawasi keadaan. Imam pada permulaannya akan solat bersama kumpulan yang pertama untuk rakaat yang pertama sekiranya sembahyang dua rakaat atau sembahyang qasar, dan dua rakaat pertama sekiranya sembahyang genap (empat rakaat). Sesudah itu imam akan bangkit untuk rakaat seterusnya dan berdiri bagi menunggu kedatangan kumpulan yang kedua. Adapun kumpulan pertama akan niat berpisah dengan imam (niat mufaraqah) dan menamatkan sembahyang masing-masing secara bersendirian, kemudian bergerak manggantikan tempat kumpulan kedua yang tadinya mengawasi keadaan. Manakala kempulan yang kedua pula akan memulakan sembahyang bersama imam (yang mana imam sedang berada di rakaatnya) hinggalah sampai ke tahiyyat akhir (bagi imam), dan di sini imam akan memanjangkan doa dalam tahiyyat akhir bagi menunggu kumpulan kedua menyempurnakan baki rakaat mereka masing-masing sehinggalah mereka juga sampai di tahiyyat akhir dan imam akan memberi salam bersama-sama dengan mereka. Kumpulan pertama akan mendapat kelebihan (fadhilat) takbirratul-ihram bersama-sama dangan imam, manakala kumpulan kedua pula mendapat kelebihan memberi salam bersama-sama imam.

Ketika peperangan sedang meletus

Sekiranya peperangan tercetus dengan dahsyatnya, dan waktu sembahyang hampir ke penghujungnya sedangkan pihak musuh pula tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menghentikan serangan dan keadaan juga seolah-olah tidak memberikan peluang untuk bersembahyang khauf secara berjamaah dengan imam; maka di waktu ini kita disuruh untuk bersembahyang dengan isyarat hati sahaja tanpa melibatkan rukun-rukun fi'li (perbuatan). Dalam pada ketika ini kita dibenarkan untuk melakukan gerakan-gerakan yang berkaitan dengan peperangan seperti memancung, menikam, menembak, dan sebagainya dan dimaafkan untuk tidak mengadap qiblat.

Perkara-perkara yang membatalkan Solat Khauf:

1) Terbatal wudu’ ketika dalam sembahyang
2) Menjerit dan melaung (sekiranya tidak diperlukan)
3) Gerakan-gerakan yang banyak yang tiada kaitan dengan peperangan
4) Darah yang banyak (kecuali terpaksa atau darurat, di sisi mazhab Syafie; darah yang banyak tidak menjejaskan sembahyang di sisi mazhab Maliki)
[kembali ke atas]

Nota:
1) pengunjung amat disyorkan merujuk kepada ustaz/ustazah tempatan sekiranya mempunyai kemusykilan dalam perihal bab solat ini. namun, sekiranya ingin bertanya penulis, hantarkan email kepada emzadii@hotmail.com (dan bukan di guestbook!)
2) terima kasih kepada semua pengunjung atas teguran huraian/ejaan. Juga terima kasih kepada semua yang menyuarakan sokongan dan perangsang dalam penulisan bab solat ini.
3) perhargaan kepada RZ atas teguran dalam solat sunat tasbih.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar